PELAKON veteran A.Galak terkejut apabila mengetahui berita kononnya dia sedang sakit dan tahap kesihatan kurang baik.

A Galak atau Zakaria Ahmad,80, sebaliknya meluahkan rasa bersyukur kerana pada usianya menjangkau 80 tahun namun masih mampu bekerja meskipun hingga lewat malam.

“Walau apa pun saya bersyukur kepada tuhan kerana memberikan saya kesihatan dan saya nak pesan kepada peminat, sahabat serta keluarga bahawa sekarang saya sihat.

“Saya tiada had pergerakan atau tawaran berlakon cuma sekarang ni yang baru berlakon filem Mat Kilau 2 lagipun saya baru seminggu habis penggambaran.

“InsyaAllah kalau sesiapa nak tawarkan saya berlakon masih mampu buat masa ini,” kata A.Galak.

Sebelum ini, Datuk Yusof Haslam pernah mengeluarkan kenyataan berhubung penyebaran berita palsu mengenai sahabat baiknya, A Galak, yang didakwa meninggal dunia.

Yusof yang kesal dengan penyebaran berita itu berkata, tindakan itu dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang didapati semakin tidak terkawal dalam media sosial untuk tujuan tertentu.

“Perbuatan ini dilakukan orang yang bersikap tidak bertanggungjawab. Sudah makin kerap berlaku.

“Saya harap mereka hentikan membuat dosa dengan menyebarkan berita palsu kepada orang ramai.

“Semoga ada undang-undang yang tegas daripada pihak berkuasa dan berwajib bagi mereka yang melakukan penyebaran berita palsu ini.

“Kena ada hukuman denda yang setimpal atau penjara,” katanya.

Yusof berkata, sudah tiba masanya untuk tindakan tegas dikenakan kepada penyebar yang tidak bermoral ini kerana sudah melampau dan menjadi satu perbuatan yang biasa bagi mereka (penyebar berita palsu).

Terdahulu, tersebar berita mendakwa A Galak yang cukup dikenali sebagai ‘Sarjan Misai’ dalam drama bersiri Gerak Khas, dilaporkan meninggal dunia dan orang ramai dimohon sedekahkan al-Fatihah.

Sebelum ini, A Galak pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 27 Mei 2019 selepas diserang angin ahmar.

A Galak atau nama sebenar, Zakaria Ahmad dilahirkan di Johor dan dibesarkan di Singapura mempunyai lima anak. Beliau sudah aktif berlakon pada 1961 menerusi filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Ali Baba Bujang Lapuk sebagai penyamun.

Pada 1983, A Galak juga berlakon filem Darah Satria sebagai Sarjan Razak diikuti filem Azura pada 1984 dengan watak Datuk Puteh, iaitu bapa Zack lakonan Datuk Jamal Abdillah.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

Sumber : mStar, HM

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *